Hari ini ramai yang kita lihat ingin memulakan perniagaan sendiri. Sama ada perniagaan atas talian atau bukan. Antara sebab ramai yang ingin mempunyai perniagaan sendiri disebabkan mahu menjadi majikan.

Namun, dalam usaha menubuhkan perniagaan ini, ramai yang kita lihat telah mendaftarkan perniagaan mereka sebagai syarikat sendirian berhad atau Sdn. Bhd. Apa kelebihan perniagaan jenis ini sehingga menjadi pilihan orang ramai?

Ini empat perkara yang anda perlu tahu tentang syarikat sendirian berhad.

1) Penubuhan & Pemilikan Syarikat

Perkara pertama yang anda perlu tahu adalah penubuhan dan pemilikan syarikat. Syarikat Sdn. Bhd. dikategorikan dibawah jenis syarikat berhad iaitu saham yang dihadkan. Mudahnya, saham perniagaan tidak boleh dijual kepada orang awam. Modal penubuhan syarikat umumnya datang daripada pemilik syarikat.

Dari segi pemilikan pula, pemilik syarikat boleh terdiri daripada satu atau sekurang-kurangya dua individu. Syarikat perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk beroperasi.

Dari segi saham atau syer pula, individu yang mempunyai syer terbesar boleh mengawal syarikat. Malah syer atau saham dalam syarikat sdn. bhd. boleh dimiliki lebih daripada satu individu. Kumpulan ini dikenali sebagi Board of Directors (BOD) atau Lembaga Pengarah Syarikat. Malah, mereka ini turut dikenali sebagai pemegang saham syarikat.

2) Pengurusan Syarikat

Dari segi pengurusan syarikat, pemilik syarikat atau individu yang memegang saham terbesar boleh memilih sama ada ingin terlibat atau tidak dalam hal-hal berkaitan syarikat. Syarikat biasanya akan diketuai oleh Ketua Pengarah Urusan atau Chief Executive Officer (CEO) untuk menentukan hala tuju syarikat.

Namun, setiap keputusan yang berkaitan dengan syarikat perlu mendapatkan sokongan dan persetujuan daripada setiap ahli Lembaga Pengarah Syarikat. Asasnya, jawatan CEO boleh disandang oleh pemegang saham syarikat atau individu yang bukan pemegang saham.

Selain itu, syarikat sendirian berhad perlu melantik sekurang-kurangnya seorang Setiausaha Syarikat untuk membantu dalam pengendalian syarikat. Setiausaha ini berperanan sebagai pegawai syarikat dan penasihat kepada Lembaga Pengarah Syarikat.

3) Risiko & Keuntungan Syarikat

Syarikat sendirian berhad mengamalkan konsep entiti berasingan. Konsep ini bermaksud, pemilik syarikat dan syarikat terpisah antara satu sama lain. Ringkasnya, apa-apa yang berlaku terhadap syarikat tidak akan memberikan kesan kepada pemiliknya.

Misalnya, sekiranya syarikat mendapat keuntungan yang besar, pemilik tidak berhak untuk mengambil keseluruhan hasil syarikat. Tambahan lagi, sekiranya syarikat di isytihar bankrap, pemilik tidak akan terjejas dan aset pemilik tidak akan ditarik oleh pihak bank.

Jika berlaku kemalangan terhadap pemilik syarikat seperti meninggal dunia, aktiviti perniagaan masih boleh berjalan seperti biasa. Sama seperti pemilik syarikat, sekiranya pemegang saham meninggal dunia, pemilikkan saham tersebut boleh dipindah milik kepada waris mengikut kehendak pemegang saham tersebut.

4) Cukai yang Dikenakan

Setiap perniagaan yang berdaftar perlu membayar cukai yang telah ditetapkan. Dalam urusan syarikat sendirian berhad, kesemua perbelanjaan yang terlibat dalam perolehan pendapatan syarikat sendirian boleh diberi pelepasan bagi tujuan cukai pendapatan.

Cukai pelepasan yang diberikan termasuklah faedah atas pinjaman yang diambil bagi modal pusingan, gaji pekerja, komputer, kereta dan yuran audit.

Kesimpulan

Ringkasnya, syarikat berhad mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri berbanding yang lain. Syarikat sendirian berhad akan terus beroperasi tanpa mengambil kira status pemiliknya. Malah, jangka hayat perniagaan ini juga lebih panjang. Oleh itu, sebelum memulakan operasi syarikat, ambil tahu dahulu kelebihan dan kekurangan setiapnya.

Share This!