Tahukah anda, pada 31 Januari 2017, Akta Syarikat 1965 telah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Syarikat 2016 secara berperingkat. Ianya dibuat selari dengan keperluan dan kehendak syarikat selain mentransformasikan urustadbir korporat menjadi lebih efisien.⁣
Akta Syarikat 2016 dikuatkuasakan bagi menggantikan Akta Syarikat 1965 yang telah diguna pakai selama 56 tahun. Melalui pelaksanaan akta baharu ini, terdapat beberapa penambahbaikan telah dimasukkan bagi menggantikan akta yang lama.⁣
Pelbagai alternatif telah dikeluarkan untuk membantu golongan korporat baharu serta syarikat yang menghadapi masalah kewangan. Tujuan akta ini digubal adalah untuk memastikan polisi yang bersifat mesra perniagaan serta kelebihan dan faedahnya dapat dinikmati oleh masyarakat korporat.⁣
Melalui penguatkuasaan Akta Syarikat 2016 ini, terdapat lima perbezaan utama yang boleh dilihat. Antara perbezaan jelas Akta Syarikat 2016 dan Akta Syarikat 1965 ini ialah dari segi pembentukan syarikat, proses penubuhan, tempoh penyimpanan nama syarikat, struktur dan cop meterai perbadanan atau “Common Seal”.⁣
1. Pembentukan Syarikat⁣
Akta Syarikat 2016 yang dikuatkuasakan pada tahun 2017 telah membawa pelbagai penambahbaikan kepada pembentukan syarikat. Misalanya, melalui Akta Syarikat 2016 ini, pembentukan syarikat hanya memerlukan seorang pengarah syarikat dalam proses menubuhkan syarikat dan menetap di Malaysia.⁣
Hal ini berbeza dengan Akta Syarikat 1965 dimana undang-undang memperuntukkan untuk membentuk sebuah syarikat, sekurang-kurangnya dua orang pengarah syarikat diperlukan dan perlu bermastautin di negara ini.⁣
⁣⁣
2. Proses Penubuhan⁣
Melalui penguatkuasaan akta yang baharu ini juga, proses penubuhan syarikat menjadi lebih mudah jika dibandingkan dengan proses yang termaktub di dalam Akta Syarikat 1965. Akta Syarikat 2016 secara asasnya boleh dikatakan sebagai pemudah cara untuk mana-mana individu menubuhkan syarikat.⁣
Proses dan sistem yang rumit seperti yang termaktub di dalam Akta Syarikat 1965 telah dihapuskan dan diganti dengan akta syarikat baharu supaya menjadi lebih mudah. Malah, pemansuhan Akta Syarikat 1965 ini secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai usahawan untuk menubuhkan syarikat tanpa perlu melalui proses yang kompleks.⁣
3. Tempoh Penyimpanan Nama Syarikat⁣
Akta Syarikat 2016 juga membawa pembaharuan dalam aspek tempoh penyimpanan nama syarikat. Jika sebelum ini, tempoh penyimpanan nama syarikat adalah tiga bulan namun dengan Akta Syarikat 2016 yang baharu ini, tempoh ini telah dipendekkan kepada 30 hari sahaja.⁣
4. Struktur Organisasi
Sebelum pelaksanaan Akta Syarikat 2016, sesebuah syarikat mengamalkan struktur yang menggunakan kaedah Tataujud dan Tataurus (Memorandum & Articles) dalam penubuhan syarikat.Namun sejak akta baharu ini diperkenalkan, keaedah ini telah diganti dengan struktur yang lebih mudah iaitu perlembangaan atau constitution. Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak wajib diamalkan oleh sesebuah syarikat.⁣
5. Meterai Perbadanan (Common Seal)⁣
Cop meterai perbadanan atau common seak merupakan komponen wajib yang diperlukan oleh setiap syarikat berdaftar. Mengikut undang-undang yang termaktub dalam Akta Syarikat 1965, common seal sering digunakan pada sijil saham syarikat dan dokumen perjanjian melibatkan syarikat. ⁣
Namun, sejak Akta Syarikat 2016 diperkenalkan, syarikat tidak lagi diwajibkan untuk menggunakan common seal. Dengan wujudnya kemudahan seperti ini secara tidak langsung akan mengurangkan kos untuk pemerbadanan syarikat dan mengelakkan dari salahguna cop tersebut.⁣
Ringkasnya, dengan pengenalan akta baharu ini, pelbagai kemudahan telah diberikan dengan menggantikan akta-akta terdahulu. Malah proses penubuhan syarikat juga menjadi lebih mudah dengan Akta Syarikat 2016 ini. Dalam masa yang sama memberi peluang banyak pada usahawan untuk memilih entiti perniagaan yang sesuai.⁣
Share This!