Penubuhan syarikat sendirian berhad memerlukan seorang pengarah syarikat atau ketua untuk mengerakkan organisasi mencapai matlamat. Berdasarkan akta yang ditetapkan, setiap syarikat memerlukan sekurang-kurangnya seorang pengarah untuk syarikat sendirian berhad.

 

Menurut Akta Syarikat 2016, Seksyen 196 (1)(a) menetapkan bahawa syarikat sendirian berhad hendaklah mempunyai minimum sekurang-kurangnya seorang pengarah. Malah untuk menjadi pengarah syarikat, seseorang itu mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun ke atas. Mengikut perkara 4 seksyen yang sama, seseorang itu hendaklah mempunyai alamat tetap di Malaysia untuk melayakkannya menjadi pengarah syarikat.

 

Seksyen 213 (2)(a) menekankan tentang tanggungjawab pengarah syarikat. Menurut seksyen ini, pengarah syarikat yang dilantik hendaklah mempunyai kemahiran dan pengetahuan untuk melaksanakan tugas sebagai seorang pengarah syarikat. Sekiranya seseorang pengarah melanggar seksyen ini, individu tersebut boleh anggap melakukan kesalahan.

 

Namun begitu, terdapat juga beberapa punca yang boleh menyebabkan pengarah tersebut hilang kelayakan untuk memegang jawatan tersebut. Akta Syarikat 2016 mengariskan secara jelas penyebab individu tersebut kehilangan jawatan sebagai pengarah syarikat.

 

1) Diisytihar Bankrap

Seperti yang dijelaskan dalam Seksyen 198 (1)(a), seseorang pengarah boleh kehilangan kelayakan sebagai pengarah syarikat sekiranya diisytiharkan sebagai bankrap. Jika seseorang pengarah tersebut muflis, individu tersebut tidak boleh memegang jawatan sama ada secara langsung atau tidak langsung sebagai pengarah syarikat.

 

2) Disabitkan Kesalahan

Selain itu, pengarah syarikat boleh kehilangan kelayakannya apabila dirinya disabitkan dengan satu kesalahan. Sekiranya dibuktikan pengarah syarikat mempunyai kesalahan berkaitan pengurusan atau perbadanan syarikat, individu tersebut boleh kehilangan kelayakan sebagai pengarah. Hal ini jelas disebut di dalam Seksyen 198 (1)(b).

 

3) Perintah Mahkamah

Pengarah syarikat juga boleh hilang kelayakannya sebagai pengarah jika mahkamah mengeluarkan satu perintah. Seksyen 199 (1) menegaskan bahawa mahkamah boleh mengeluarkan suatu perintah atas permohonan pendaftar untuk menghilangkan kelayakan orang daripada memegang jawatan sebagai pengarah.

 

Namun, dijelaskan dalam seksyen yang sama dalam klausa (a), perintah mahkamah akan dikeluarkan sekiranya pengarah tersebut dalam masa lima tahun terdahulu pernah menjadi pengarah bagi dua atau lebih syarikat namun telah dibubarkan akibat kegagalan menyelesaikan hutang selepas dividen diisytiharkan.

 

Oleh itu, perintah mahkamah akan dikeluarkan atas permohonan pendaftar untuk menghilangkan kelayakannya sebagai pengarah syarikat. Selain itu, pengarah syarikat juga boleh hilang kelayakan jika melanggar kewajipannya sebagai pengarah seperti yang termaktub dalam Seksyen 199 (1)(b).

 

4) Kuasa Pendaftar

Seksyen 200, Akta Syarikat 2016 menyatakan bahawa pendaftar mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama pengarah yang hilang kelayakan untuk menerajui syarikat. Klausa seksyen ini menjelaskan “Walau apa pun mana-mana peruntukan dalam Akta ini atau perlembagaan syarikat, Pendaftar hendaklah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama seseorang pengarah yang telah dihilangkan kelayakannya di bawah seksyen 198 atau 199 daripada daftar yang disimpan oleh Pendaftar bagi maksud itu.

 

Justeru itu, untuk memastikan seseorang itu dapat menikmati kelayakan sebagai pengarah syarikat, individu tersebut mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan. Selain itu, pengarah syarikat juga perlulah sentiasa memastikan agar dirinya tidak melanggar perkara-perkara yang termaktub di dalam Akta Syarikat 2016.

Share This!