Dalam perniagaan, selain daripada keuntungan, aspek kewangan turut menjadi aspek yang perlu ditekankan. Aliran kewangan keluar masuk perlulah sentiasa direkod untuk memastikan kedudukan kewangan perniagaan adalah stabil.

 

Namun masih ramai usahawan diluar sana yang tidak mengambil berat tentang urusan merekod penyata kewangan perniagaan. Malah anda juga yang merekod secara sambil lewa. Akhirnya, aktiviti syarikat menjadi kucar-kacir disebabkan kekurangan wang perniagaan.

 

Oleh itu, penyata kewangan amatlah penting agar aktiviti perniagaan dapat dijalankan dengan lancar. Hari ini, kami kongsikan lima kepentingan penyata kewangan kepada perniagaan yang perlu anda tahu.

 

1) Mengelakkan Penyelewengan

Umum mengetahui bahawa terdapat kes melibatkan yang melibatkan penyelewengan kewangan dalam aktiviti perniagaan. Tanpa sebarang rekod aliran kewangan, lebih mudah untuk aktiviti penyelewengan berlaku.

 

Terdapat kes dimana kerani akaun akan mendahulukan duit syarikat untuk membeli barang yang diperlukan syarikat namun segala urusan pembelian tersebut tidak direkod dalam aliran keluar masuk wang syarikat.

 

Hal ini akhirnya akan menyebabkan urusan kewangan syarikat terencat akibat tiada rekod kewangan berlaku. Secara tidak langsung, ini akan mendorong ke arah risiko kerugian.

 

2) Menilai Prestasi Kewangan Syarikat

Penyata kewangan juga membenarkan syarikat untuk melakukan penilaian terhadap kedudukan kewangan syarikat.

 

Kewangan syarikat yang kukuh dan stabil membenarkan syarikat untuk melakukan pelbagai aktiviti perniagaan lain seperti pemasaran dan sebagainya.

 

Malah kewangan syarikat yang kukuh juga akan menarik perhatian syarikat luar untuk membina kerjsama dalam urusan perniagaan.

 

3) Memudahkan Pembiayaan/Pinjaman

Dalam perniagaan, sudah semestinya anda mempunyai niat untuk mengembangkan perniagaan anda di masa hadapan. Untuk mencapai tujuan tersebut, modal yang besar diperlukan untuk mengembangkan perniagaan.

 

Pembiayaan atau pinjaman merupakan sumber yang boleh membantu melebarkan sayap perniagaan anda. Namun, urusan pinjaman atau pembiayaan adakalanya sedikit rumit apabila melibatkan pihak bank.

 

Namun begitu, urusan ini akan menjadi lebih mudah sekiranya anda mempunyai penyata kewangan yang teratur. Pihak bank akan menilai prestasi syarikat dengan menganalisa kedudukan kewangan sama ada syarikat berupaya membayar balik pinjaman atau tidak.

 

Dengan adanya penyata kewangan syarikat yang teratur, syarikat anda berkemungkinan besar untuk mendapat pinjaman dari pihak bank. Kedudukan kewangan yang baik akan menyakinkan pihak bank meluluskan pinjaman kepada anda.

 

4) Mengelakkan Pembaziran

Umum mengetahui bahawa dalam perniagaan anda mungkin memerlukan barang atau peralatan yang sesuai untuk urusan perniagaan anda.

 

Namun kadang kala, anda mungkin melakukan pembelian yang sebenarnya tiada kaitan dengan keperluan aktiviti perniagaan. Hal ini secara tidak langsung akan membawa kepada pembaziran kepada kedudukan kewangan syarikat.

 

Oleh itu, dengan adanya penyata kewangan syarikat, setiap pembelian dapat dipantau disamping mengelakkan berlakunya pembaziran daripada berlaku. Tambahan lagi, penyata kewangan juga membolehkan anda untuk menilai prestasi semasa syarikat.

 

Misalnya, berapa banyak bahan mentah yang perlu dibeli, berapa tenaga buruh atau pekerja yang diperlukan dan sebagainya. Pendek kata, segala urusan melibatkan kos perniagaan dapat dipantau bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

 

5) Percukaian

Urusan percukaian merupakan elemen wajib dalam aktiviti perniagaan. Bukan sahaja golongan individu yang perlu membayar cukai, malah syarikat atau perniagaan turut bertanggungjawab untuk membayar cukai.

 

Urusan pembayaran cukai boleh dibuat oleh syarikat sama ada untuk membayar cukai selaras dengan keuntungan semasa atau tidak.

 

Sekiranya syarikat ingin menjelaskan cukai selaras dengan keuntungan semasa, syarikat perlu memantau jumlah perbelanjaan dan pendapatan yang dikenakan cukai. Hal ini boleh dibuat dengan menyemak penyata kewangan yang direkodkan secara berkala.

 

Sebagai seorang usahawan, anda perlu berikan perhatian dalam bukan sahaja dalam aspek jualan dan pemasaran sahaja, tetapi anda juga perlu bijak merancang dan mengurusakan kewangan syarikat.

 

Ringkasnya, penyata kewangan mempunyai banyak kepentingan kepada perniagaan. Urusan perekodan aliran masuk kewangan membenarkan anda untuk memantau kedudukan kewangan syarikat.

Share This!