Hari ini, ramaiĀ  usahawan yang menubuhkan syarikat sendirian berhad sebagai sumber perniagaan. Umumnya, syarikat sendirian berhad merupakan entiti perniagaan yang sahamnya dihadkan. Perniagaan ini memerlukan lebih daripada satu pemilik untuk membolehkan perniagaan ditubuhkan.

 

Dalam usaha menubuhkan perniagaan jenis ini, beberapa perkara asas perlu difahami terlebih dahulu. Asasnya, terdapat tiga langkah utama untuk menubuhkan perniagaan syarikat sendirian berhad ini.

 

1) Melantik Setiausaha Syarikat

Proses pertama sebelum menubuhkan perniagaan syarikat sendirian berhad adalah dengan melantik seorang setiausaha syarikat. Setiausaha syarikat ini haruslah individu yang bertauliah atau mempunyai kelayakan yang diiktiraf.

 

Individu ini berperanan untuk membantu syarikat sendirian berhad dari awal penubuhan sehingga akhir. Malah setiausaha syarikat juga akan bertindak sebagai pegawai dan penasihat kepada syarikat tersebut.

 

Perlantikan setiausaha syarikat sendirian berhad mestilah mempunyai Licensed Secretary daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau The Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA).

 

2) Sediakan Maklumat Berkaitan

Langkah seterusnya adalah menyediakan maklumat berkaitan penubuhan perniagaan. Nama syarikat misalnya perlu disenaraikan sekurang-kurangya tiga nama bagi tujuan semakan oleh pendaftar syarikat.

 

Cadangan tiga nama syarikat ini bertujuan mengelakkan nama syarikat yang ingin didaftarkan tidak bertindih dengan nama syarikat sedia ada. Selain itu, aktiviti perniagaan juga perlu disenaraikan untuk tujuan pendaftaran. Malah, akaun bank syarikat juga perlu disenaraikan bagi memudahkan urusan aliran kewangan dan mengelakkan penyelewengan berlaku. Penentuan akaun bank adalah ditentukan oleh pemilik syarikat.

 

Selain itu, dokumen sokongan juga perlu disediakan untuk mengelakkan kekeliruan kepada pendaftar syarikat. Misalnya, anda perlu sertakan salinan kad pengenalan bakal pengarah syarikat, bakal pemegang saham, e-mel dan nombor telefon. Malah alamat perniagaan juga perlu disediakan sekiranya ada.

 

3) Proses Penubuhan Syarikat

Langkah terakhir adalah penubuhan syarikat. Pada tahap ini, proses ini akan diuruskan oleh setiausaha syarikat untuk yang mengambil masa antara 3 hingga 5 hari waktu bekerja untuk menyiapkan proses penubuhan syarikat.

 

Dalam masa yang sama, SSM akan menyediakan beberapa dokumen seperti Seksyen 14, Seksyen 15, Seksyen 17 dan Seksyen 58 & 236 (2). Tambahan lagi, pemilik syarikat juga dikehendaki untuk menandatangi dokumen berkaitan untuk memperoleh sijil penubuhan syarikat.

 

Sekiranya permohonan anda diluluskan, SSM akan menyerahkan borang Seksyen 17 iaitu sijil penubuhan syarikat sendirian berhad. Dengan penyerahan dokumen tersebut, operasi perniagaan syarikat sendirian berhad anda sudah boleh memulakan aktiviti perniagaan secara sah.

 

Asasnya, proses penubuhan syarikat sendirian berhad tidaklah serumit yang disangka. Pemahamam yang jelas terhadap proses yang terlibat dalam penubuhan perniagaan syarikat sendirian berhad akan menjadikan prosesnya lebih mudah. Oleh itu, fahami dahulu proses atau dokumen yang diperlukan untuk memastikan permohonan penubuhan syarikat berjalan dengan lancar.

 

Share This!